Mengapa terlalu sibuk dengan soal bakal pasangan hidup saya seiman atau bukan?
Sebenarnya, tiada perkara lain yang lebih penting bagi anda atau bakal pasangan hidup anda selain keadaan kerohanian anda berdua. Abraham mengetahui perkara itu. Dia menyuruh hambanya menempuh perjalanan yang sangat jauh (lebih 400 batu) untuk mencari pengantin perempuan yang sepadan dengan anaknya secara rohani. Abraham bukan semata-mata seorang bapa yang terlalu melindungi atau mengawal; dia tahu kepentinganjangka panjang suatu perkahwinan. Kejadian 24 membantu kita mengerti sebabnya.
Abraham memberikan hambanya (kemungkinan hamba tuanya yang setia, iaitu Eliezer, yang disebut dalam 15.2) perintah tegas ini: "...kamu tidak akan mencari isteri untuk anakku Ishak, di kalangan orang di tanah Kanaan ini. Kamu harus kembali ke negeri tempat kelahiranku untuk mencari isteri baginya di kalangan saudara maraku." (ay 3, 4). Orang Kanaan terkenal dengan penyembahan berhala yang sangat keji. Dewa-dewa dan dewi-dewi mereka menganjurkan penyembahan yang menuntut korban manusia dan upacara kesuburan yang mengamalkan perhubungan seks sumbang.
Siapakah orang Kanaan pada masa ini?
Baiklah, mungkin orang yang menjadi teman anda selama ini tidak menghadiri gereja yang menganjurkan korban manusia atau upacara seksual, dan dia tidak menyembah dewa-dewa kesuburan. Bagaimanapun, isunya adalah siapakah yang disembahnya? Adakah orang yang anda cintai itu mengenal Yesus Kristus sebagai Penyelamat? Adakah orang itu hidup bagi Yesus Kristus? Orang Kanaan moden bukan semestinya orang yang sama sekali tidak percaya kepada Tuhan. Mereka boleh kelihatan beragama secara positif, tetapi menjadi orang beragama belum cukup.
"Tiada perkara lain yang lebih penting bagi anda atau bakal pasangan hidup anda selain keadaan kerohanian anda berdua."
Kitab 2 Korintus 6.14, 15 menyatakan, "Janganlah cuba bekerjasama dengan orang yang tidak percaya kepada Kristus, kerana hal itu tidak sesuai. Kebaikan dan kejahatan tidak dapat bersama-sama. Kristus tidak dapat bersetuju dengan Iblis. Orang Kristian tidak mempunyai hal yang sama dengan orang bukan Kristian." Ketika Rasul Paulus menulis kata-kata itu, dia tidak merujuk hal perkahwinan secara khusus, namun prinsipnya tentu sekali boleh diterapkan. Seseorang yang menaruh kepercayaannya kepada Kristus sudah dilahir semula (Yoh 3.3-16), dan "Apabila seseorang bersatu, dengan Kristus, orang itu menjadi manusia baru. Yang lama sudah lenyap dan yang baru bermula. " (2 Kor 5.17). Perubahan radikal seperti itu dalam kehidupan rohani kita seharusnya memberikan kesan yang ketara dalam keutamaan kita, sasaran kita, gaya hidup kita, dan perhubungan kita.
Kitab 1 Korintus 7.39 menunjukkan bahawa seorang balu, jika dia memilih untuk berkahwin semula, hendaklah berkahwin dengan seorang lelaki yang "Kristian". Lelaki itu mesti seiman, yang hidup dengan iman kepada Yesus Kristus. Tentu sekali firman ini bukan sahaja bagi para balu tetapi juga bagi sesiapa sahaja yang merancang untuk berkahwin.
Oleh itu, jika anda seorang yang beriman, orang yang anda. kahwini haruslah juga seiman. Carilah orang yang mengenal Kristus sebagai Penyelamat, dan yang menyatakan pertumbuhan rohani.
Apakah yang akan berlaku jika saya tidak berkahwin dengan orang yang seiman dengan saya?
Banyak perkara. Jika anda dapat berbual-bual dengan Musa atau Raja Salomo, mereka pasti memberitahu anda bahayanya terhadap keluarga dan masyarakat orang beriman. Musa mendapat firman tentang hal ini langsung daripada Tuhan, dan Salomo mengetahui perkara ini daripada pengalaman peribadinya. Dia telah mengalami akibat yang buruk sekali kerana berkahwin dengan orang yang bukan seiman.
Hukum yang Allah berikan kepada Musa mengandungi larangan berkahwin dengan bangsa bangsa di sekitar yang tidak percaya kepada Allah. Ulangan 7.3,4 menyatakan, "Jangan berkahwin dengan mereka, dan jangan biar anak-anak kamu berkahwin dengan mereka, kerana mereka akan menjauhkan anak-anak kamu daripada TUHAN, sehingga anak-anak kamu itu menyembah tuhan-tuhan lain..." Walaupun Salomo sudah mengetahui semua itu, namun dia menyalahgunakan beberapa keistimewaannya sebagai raja dan berkahwin dengan berbagai ragam perempuan asing yang menyembah berhala.
Akibatnya, "...mereka berjaya membujuknya menyembah tuhan-tuhan lain ketika Raja Salomo sudah tua..." (I Raj 11.4). Raja Salomo dan seluruh bangsa menderita (ayat 11 - 13).
Sepanjang sejarah Israel, apabila mereka berkahwin dengan orang yang tidak seiman, maka pasti ada pengaruh yang ketara dan negatif terhadap orang Israel. Walaupun mereka telah dihukum melalui tentera asing,
orang Yahudi yang kembali ke Yerusalem masih perlu ditegur dengan keras oleh Ezra(9-10) dan Nehimaya(13.23-27), dan kemudian oleh Maleakhi(2.11,12). Cinta, nafsu, dan keadaan membutakan mereka terhadap apa yang diketahui mereka sebagai benar dan salah.
Kita yang percaya kepada Kristus mesti berhati-hati terhadap godaan yang tidak mahu memperhatikan isu ASAS tentang kesesuaian kerohanian. Hanya kerana orang tersebut hendsom, segak bergaya, tegap,cantik, terpelajar, kaya, murah hati dan bertimbang rasa, atau kelihatanya "sangat mencintai saya,"
AWAS" jangan biarkan perasaan membuat anda menginjak-injak perhubungan anda dengan Elohim."
Walaupun Rasul Paulus dan Rasul Petrus bercakap tentang kemungkinan membawa pasangan hidup percaya kepada Kristus kelak (1 Kor 7.12-16 dan 1 Ptr 3.1,2), hal itu tidak bererti bahawa kita sengaja melangsungkan perkahwinan dengan orang yang kita tahu tidak sempadan secara rohani. Seorang yang beriman yang berkahwin dengan seorang yang tidak percaya berkemungkinan akan menghadapi ketidakstabilan kerohanian dalan perkahwinan seumur hidupnya dan juga peperangan tentang hidup kerohanian anak-anak.
Cuba renungankan hal-hal berikut:
- Mengapa segolongan orang Kristian memilih untuk berkahwin dengan orang yang tidak beriman walaupun mereka tahu tindakan itu salah?
- Apakah konflik yang akan berlaku dalam perkahwinan jika kedua-duanya bukan orang beriman?
- Apakah kesan perkahwinan seperti ini terhadap iman anak-anak semasa mereka bertumbuh?
No comments:
Post a Comment